Al-Quran: AKP al-Quran.  

Allah s.w.t ini… Dia sentiasa menguji manusia. Dengan sifat-Nya sebagai ad-Dharr, Allah s.w.t mempunyai kekuasaan unlimited untuk menguji para hamba-Nya.

Yang paling berat diuji ialah para Nabi dan Rasul. Kemudian para Sahabat r.anhum, Wali Allah, orang soleh, sehingga ke orang biasa-biasa.

Mereka yang diuji sudah tentu akan dirasakan beban ujian. Tidak dinamakan sebagai ujian jika tidak dirasakan ada bebanan ujian.

Oleh hal demikian, sangat penting untuk mempelajari hikmah di sebalik ujian. Ujian ini bukan sengaja Allah s.w.t berikan, melainkan ada maksudnya yang tertentu.

Antara hikmahnya ialah untuk memantapkan keimanan seseorang hamba-Nya. Dengan ujian, imannya akan menjadi semakin kuat. Kerana ujian akan menancap atau menyentuh keadaan iman sebelum ini. Apabila berjaya melepasi ujian, maka iman akan bertambah dan menjadi semakin kuat di dalam hati.

Kedua, ujian akan menentukan kedudukan iman seseorang. Sekiranya semakin banyak ujian yang dilepasi, maka kedudukan imannya akan semakin bertambah. Daripada mukmin akan menjadi muttaqin. Tetapi, jika tidak melepasi para ujian, maka keadaan iman akan menjadi goyah seterusnya tersungkur dalam keadaan iman yang belum tentu, dan hati yang tidak kuat menerima ujian Ilahi.

Ketiga, ujian juga untuk menjadi hamba Allah lebih baik keadaannya daripada keadaan terdahulu. Hikmah ini seperti kata pepatah inggeris, ‘No pain no gain.’ Dengan adanya ujian, keadaan jiwanya semakin kuat, mentalnya semakin baik, emosinya terkawal, hatinya tidak goyah dan sentiasa kekar, dan seterusnya fizikalnya mampu menahan lebih banyak musibah.

Inilah antara hikmah ujian. Dan mungkin ada banyak lagi daripada ini.

 

Kemunduran umat dan penyelesaiannya.

Hari ini daku ingin menyentuh perihal al-Quran. Lebih kepada konsep pengajaran dan bimbingan al-Quran. Sebagai peringatan, rujukan seterusnya sebagai didikan yang lebih sempurna.

 

Dalam teknik pengajaran al-Quran, kini terlalu banyak kaedah dan teknologi telah digunakan. Teknik al-Baghdadi, teknik Haraki, teknik protajwid, teknik Jibril, teknik az-Azhar, home tuition, kelas mingguan, madrasah tahfiz dan al-Quran, maa’had tahfiz dan pelbagai lagi telah digunakan dan diperkenalkan kini. Oleh hal demikian, pengajaran dan pembelajaran bukanlah menjadi suatu isu yang besar di negara kita, Malaysia.

 

Namun, peningkatan kaedah dan proses pembelajaran al-Quran masih tidak mampu mendidik jiwa masyarakat kepada penghayatan al-Quran dalam kehidupan. Secara umum, dilihat gejala sosial dan etika madhmumah tidak pernah berkurangan. Malah, semakin bertambah dan beribu-ribu kes dilaporkan saban tahun.

Hal ini menunjukkan institusi-institusi agama yang dibangunkan tidak berjaya memujuk jiwa masyarakat menjadi lebih baik daripada sebelum. Mungkin ada yang mengatakan, tidak usah dipersalahkan pada institusi agama sahaja, lihat juga pada peningkatan dan pembangunan lokasi sosial, laman sosial, media massa, laman sesawang dan lain-lain lagi yang boleh menjerumuskan masyarakat kepada keruntuhan sosial dan jumud kefahaman agama.

 

Melihat pada perselisihan pandangan ini, penulis lebih suka memetik kata-kata seorang ulama’ yang menjelaskan peningkatan masalah dan kekurangan penyelesaian masalah yang berlaku dari dulu sehingga kini.

Beliau berkata (lebih kurang),

“Hakikat sebenarnya sehingga kini penyakit kita (kemunduran umat) kita masih belum dikenal pasti secara sempurna. Beberapa perkara yang telah dinyatakan sebagai penyakit yang kononnya telah menyebabkan kejatuhan kita, bukanlah penyakit yang sebenar, tetapi hanyalah gejala sampingan. Oleh itu, selagi tumpuan tidak diberikan kepada penyakit yang sebenar serta rawatan ke atas puncanya tidak dijalankan maka pemulihan ke atas gejala-gejala sampingan bukan sahaja tidak mungkin terlaksana malan menjadi mustahil. Oleh itu, selagi kita tidak betul-betul mengenal pasti penyakit dan tidak mahu mengetahui cara rawatannya yang sebenar maka sebarang perbincangan untuk mengislahkan umat adalah satu kesilapan yang besar.”

 

Kenyataan ini menyimpulkan bahawa umat atau masyarakat kini hanya mengenal pelbagai jenis masalah yang timbul dan mencari penyelesaian berdasarkan jenis masalah yang timbul tersebut. Malangnya, kaedah tersebut bukan sahaja mengambil masa yang lama malah tidak menyelesaikan masalah tersebut dengan semaksimum mungkin.

Kebenarannya, usaha dan kaedah membasmi masalah umat ini masih gagal dikenal pasti. Pelbagai masalah yang wujud disebabkan media, laman sosial dan lain-lain hanya suatu keadaan yang muncul disebabkan akar atau punca sebenar kepada masalah tidak berjaya dikenal pasti dan diusahakan.

Pelbagai masalah umpama dahan atau ranting kepada pohon. Pohon yang tumbuh buruk maka dahannya menjadi rapuh, rantingnya tiada nilai, buahnya rosak dan kehitaman. Tetapi pohon yang tumbuh baik, maka cabangnya akan jadi kuat, rantingnya bernilai dan buahnya enak dan manis.

 

 

Maka, punca utama atau akar kepada penyelesaian masalah ini ialah al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. al-Quran dan Hadith ialah dahan keapda pohon yang terbaik, kuat dan kekar. Ia tidak goyah dan kekal sehingga ke hari kiamat.

 

Al-Quran perlu bergandingan dengan hadith. Hal ini disebabkan Nabi s.a.w yang menyampaikan al-Quran. Maka, nak tak nak, daripada lidah baginda s.a.w yang menyampaikan al-Quran pastilah lidah yang terbaik dan peribadi yang paling mulia di alam ini.Sungguh, terlalu jahil dan lemahnya pemikiran manusia yang tidak kenal penyampai al-Quran dan peribadi yang terlalu mulia ini. Tetapi, berpidato hebat bagai mereka ahli dalam Kalamullah yang mulia ini.

 

(Oleh hal demikian, ditegaskan di sini, masalah sosial dan kemunduran umat yang berlaku  wujud disebabkan penyelesaian masalah gagal dikenal pasti dan diamalkan. Penyelesaian masalah, iaitu al-Quran dan hadith hanyalah sebagai teori pembelajaran dan pengajaran, bukan sebagai penghayatan dan landasan kehidupan. )

 

Al-Quran sebagai landasan hidup.

Al-Quran merupakan kalamullah yang mulia. Dari Lauh Mahfuz, Allah s.w.t menyimpannya untuk diberikan kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w untuk dijadikan panduan dan pedoman bagi umat akhir zaman.

Ia merupakan mukjizat yang terus kekal ke hari ini. Tiada sesiapa yang mampu untuk mengubah dan merosakkan nilai al-Quran. Telah lebih 1400 tahun berlalu, al-Quran kekal diaplikasi oleh pelbagai bangsa dan keadaan umat Islam hari ini.

Oleh hal demikian, penulisan kali ini merencana salah satu kaedah penyelesaian kepada kemunduran umat, iaitu al-Quran. Bagaimanakah kaedah untuk memurnikan keadaan dan kemunduran umat berdasarkan al-Quran.

 

Penjelasan kepada penyelesaian kemunduran umat berdasarkan al-Quran ini agak berbeza daripada kaedah-kaedah pengajaran al-Quran yang wujud kini. Sekiranya penekanan dan tumpuan pada P&P kini hanya pada boleh membaca, menulis  atau mengingati al-Quran, tetapi kaedah yang diterapkan di sini memberi tumpuan kepada penghayatan dan akhlak yang wujud disebabkan boleh membaca al-Quran.

Oleh hal demikian, kaedah P&P akhlak dan penghayatan yang diketengahkan di sini tidak memberi tumpuan kepada kebolehan membaca dan menulis huruf al-Quran dengan baik atau dapat mengingati surah dan ayat al-Quran dengan berkesan. Keadah ini tidak bermatlamat sedemikian. Tetapi ia bermatlamat untuk masyarakat menjana perubahan berdasarkan ayat yang dibaca seterusnya peribadi yang membawa al-Quran berubah disebabkan semakin banyak belajar dan terdidik dengan wahyu al-Quran.

 

Akhlak dan Penghayatan al-Quran (AKP al-Quran)

Akhlak dan Penghayatan al-Quran atau AKP al-Quran merupakan nama yang diusulkan bagi kaedah ini. Tujuan AKP al-Quran dilaksanakan ialah untuk menjana perubahan pada masyarakat bagaimana untuk menjadi akhlak yang mulia, dan mengikis kehidupan hendonisma. Selain itu, kaedah ini juga bertujuan untuk membina peribadi yang mempunyai mentaliti yang unggul dengan sentiasa mengigati dan meyakini janji-janji Allah s.w.t, emosi yang tenang kerana sentiasa berdampingan dan mempunyai roh al-Quran, fizikal yang kuat kerana sentiasa membaca dan menyampaikan al-Quran, serta hati yang taqarrub kerana al-Quran sentiasa wujud di hatinya dan menjadi rujukan.

 

Oleh hal demikian, AKP al-Quran memerlukan peruntukan masa yang panjang untuk merealisasikan tujuan ini dalam peribadi pembaca seterusnya kepada perubahan hidup masyarakat. Masa yang diperuntukkan berdasarkan periode masa penciptaan manusia. Ia bukan mengambil masa berapa jam, atau berapa hari atau berapa bulan, tetapi mengambil masa selama beberapa tahun untuk menjayakan tujuan kaedah ini diwujudkan.

Maka, sekiranya masyarakat bertujuan hanya membaca al-Quran atau menghafaz al-Quran, kaedah ini tidak bersesuaian kepada pihak sedemikian. Bagi mengkhatamkan al-Quran juga bukanlah tujuan perlaksanaan AKP al-Quran. Proses atau modul ini tidak wujud dalam perlaksanaan kaedah AKP al-Quran.

Prinsip AKP al-Quran ialah biar lambat belajar, asalkan beramal dan terus beradab dengan al-Quran.

 

Modul AKP al-Quran.

Bagi merealisasikan kaedah AKP al-Quran ini, modul AKP al-Quran telah dirangka. Kaedah dan silibus AKP al-Quran dihasilkan supaya tenaga pengajar mempunyai panduan, seterusnya menjana perubahan kepada peribadi yang diajar dan turut memberi kesan kepada tenaga pengajar yang mengajar al-Quran.

 

Keperluan utama:

Tenaga pengajar, pembimbing atau pendidik.

AKP al-Quran memerlukan tenaga pengajar yang mempunyai kriteria di atas. Tanpa kriteria ini, tenaga pengajar dianggap kurang mampu atau terdapat illat (kecacatan) dalam usaha menyampaikan al-Quran.

  1. Ikhlash. Tenaga pengajar perlu ikhlash mengajar kerana Allah dan menghidupkan sunnah Nabi s.a.w dengan pengantara al-Quran. Tidak boleh wujud kepentingan peribadi untuk mengajar al-Quran.
  2. Mampu membaca dengan tajwid. Tenaga pengajar perlu mampu membaca seterusnya mengingati ilmu tajwid dengan baik.
  3. Komitmen. Tenaga pengajar tidak boleh fikir menyampai al-Quran ikut masa suka-suka. Bila ingin datang dan pergi. Perlu berikan komitmen berdasarkan perjanjian yang ditetapkan antara tenaga pengajar dengan penjaga pelajar.
  4. Berakhlak mulia. Tenaga pengajar tidak boleh mengajar tanpa adanya akhlak mulia. Perlu sentiasa berusaha untuk mengajar al-Quran dengan sabar, rendah diri atau berakhlak ketika membaca dan dalam proses P&P.
  5. Tidak memilih kasih. Tenaga pengajar tidak boleh bersikap pilih kasih. Mereka perlu bersikap adil dan berikan semua peluang kepada pelajar belajar bersama-sama.
  6.  Yakin pada al-Quran. Tenaga pengajar perlu yakin pada intipati dan P&P al-Quran. Perlu jelas di sini, al-Quran bukanlah hanya untuk dibaca dan diajar, tetapi untuk menjadi amalan dan berakhlak dengan akhlak al-Quran.

 

Keperluan kedua:

Pelajar.

 

Berkenaan pelajar, terdapat beberapa kriteria yang diperlukan sepanjang proses P&P diadakan.

  1. Bersih. Pelajar perlu bersih luar (pakaian) dan dalam (najis). Tidak boleh membaca dan belajar jika masih kotor atau bernajis.
  2. Menutup aurat. Bagi pelajar lelaki, dibenarkan memakai t-shirt. Tetapi lebih baik berusaha ke arah pakaian khusus solat, iaitu pakai baju melayu atau berjubah.bagi pelajar wanita, wajib memakai baju kurung atau berjubah berserta tudung labuh. Tidak dibenarkan memakai pakaian santai di rumah atau tudung singkat. Tidak dibenarkan belajar jika tidak bersedia mengubah kaedah pemakaian ini.
  3. Beradab. Pelajar perlu dididik untuk beradab dengan al-Quran dan tenaga pengajar dalam proses pembelajaran al-Quran. Tenaga pengajar akan bertindak untuk mendidik pelajar bagaimanakah kaedah terbaik untuk beradab dengan al-Quran.
  4. Perbezaan kedudukan. Sebaik-baiknya, pelajar berlainan jantina perlu belajar dengan guru yang mempunyai jantina yang sama. Tetapi, jika berbeza jantina antara tenaga pengajar dan pelajar, maka terdaapt perubahan kedudukan yang perlu dilaksanakan. Bagi pelajar wanita, jika tenaga pengajar ialah lelaki, tidak dibenarkan duduk di barisan hadapan. Pelajar lelaki akan duduk di barisan hadapan. Bagi pelajar lelaki, jika tenaga pengajar ialah wanita, sebaiknya duduk di jarak yang jauh daripada tenaga pengajar terbabit. Sebaiknya, bagi pelajar lelaki, tenaga pengajar lelaki yang mengendalikan mereka.

(Kecuali jika mengajar untuk ahli keluarga)

 

Kaedah mengajar

Setelah wujud kedua-dua keperluan yang wajib diusahakan semasa mengendalikan P&P AKP al-Quran ini, maka kaedah AKP al-Quran boleh dimulakan.

Pertama: membaca doa

Tenaga pengajar al-Quran perlu mengajak pelajar untuk bersama-sama membaca doa. Setiap pelajar perlu membaca doa bersama tenaga pengajar.

Baca doa:

  1. Al-Fatihah
  2. Doa penerang hati

-Allah hummah a’laina….

-Rabbisy rahli sodri….

 

Kedua: mulakan bacaan

  1. Mulakan  bagi pelajar di sebelah kanan dan berakhir di sebelah kiri.

Lihat kepada kemampuan pelajar. Jika pelajar masih tidak fasih atau tergagap-gagap membaca, berikan masa membaca, tetapi tidak penuh satu muka surat. Mungkin separuh muka surat. Tenaga pengajar perlu bijaksana untuk pelajar membaca agar setiap  pelajar boleh belajar dan membaca al-Quran bersama-sama dalam kelas. Tidak terlewat sangat atau terkemudian.

  1. Tiga step bacaan.

Berikan tiga step atau tiga kali pelajar untuk meneruskan bacaan al-Quran. Tidak cukup sekadar sekali atau dua kali. Minimum tiga kali. Walaupun ramai.

Jika pelajar ramai, maka orang yang agak lambat membaca perlu baca separuh al-Quran. Dalam tempoh orang tersebut membaca, pelajar yang lain diingatkan untuk membaca al-Quran mereka sendiri. Bukan menunggu atau bermain-main.

Sambil memberi perhatian kepada pembaca, turut memberi perhatian kepada pelajar yang lain. Ingatkan mereka untuk membaca al-Quran bersama-sama.

Step pertama: membaca sekali arus

Bagi step pertama, benarkan pembaca membaca al-Quran sekali arus. Jika ada kesalahan, ditegur tetapi tidak secara detail.

Step ini selesai apabila pelajar yang terakhir membaca al-Quran.

 

Step kedua: bacaan tajwid.

Bagi step kedua, para pelajar akan membaca al-Quran dengan bertajwid. Maka, tenaga pengajar akan mengajar al-Quran dengan bertajwid.

AKP al-Quran menekankan kaedah yang berbeza untuk membaca al-Quran bertajwid. Proses al-Quran bertajwid diajar dengan sistem tanda, hukum bacaan dan nama hukum, bukan penghafalan intipati kitab rujukan tajwid al-Quran.

Tujuannya AKP al-Quran melaksanakan kaedah ini ialah supaya pelajar cepat belajar kaedah membaca dengan bertajwid dan kenal pasti tanda tajwid, hukum tajwid dan nama tajwid dengan mudah.

 

Setelah diajar, para pelajar akan mulakan bacaan kedua. Setelah selesai tempoh membaca, pembaca tersebut akan diuji tajwid mereka.

Tiga soalan akan ditanya:

“Apakah tanda tajwid bagi ayat ini?”

“Apakah hukum tajwidnya?”

“Apakah nama hukum?”

Tanyakan dua atau tiga soalan, kemudian bacaan diteruskan oleh pelajar seterusnya.

 

Step ketiga:

Ibrah daripada al-Quran.

Pada step ini, tenaga pengajar akan mengambil masa para pelajar untuk mengambil pengajran berdasarkan al-Quran atau ayat yang telah dibacakan. Masa tersebut bergantung kepada kebijaksanaan tenaga pengajar ketika menguruskan kelas al-Quran.

Ibrah ini perlu nyatakan tujuan supaya sama-sama menghayati nilai intipati al-Quran. Jelaskan kepada para pelajar apakah intipati pengajaran atau bacaan al-Quran yang dibacakan.

Tenaga al-Quran tidak boleh berniat untuk sempurnakan step ini hanya untuk para pelajar sahaja. Tetapi, perlu jelas niat step ini untuk sama-sama belajar dan berusaha bertambah yakin pada janji Allah terhadap al-Quran dan ketinggian mukjizat serta wahyu al-Quran yang diturunkan.

Step ini membuktikan diri tenaga pegajar berkeinginan untuk mengenal dan beramal dengan al-Quran. Dalam masa yang sama, mendidik para pelajar untuk mengenal dan beramal dengan al-Quran.

Ambil masa dalam 5- 10 minit sahaja.

 

Dalam step ini juga boleh dijelaskan tentang adab-adab al-Quran. Perkara ini dijelaskan kepada para pelajar supaya mereka beringat dan beramal dengan adab yang sentiasa diberi penekanan.

AKP al-Quran amat mementingkan didikan adab sebelum, ketika dan selepas membaca al-Quran. Para pelajar diperhatikan adab mereka ketika sebelum ,sedang dan selepas membaca al-Quran.

Teguran terhadap adab perlu dititik beratkan. Niatnya, supaya tenaga pengajar teruskan beramal dengan adab tersebut dan pelajar dapat sentiasa beramal dengan adab tersebut.

 

Penutup:

Doa.

 

Sebelum berakhir kelas, bacaan doa penutup dilaksanakan.

Doa dibacakan oleh tenaga pengajar. Para pelajar akan aminkan.

-Doakan khusus untuk:

“Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai kalam kami, al-Quran di bibir dan lisan kami, al-Quran di hati kami. Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai pelindung dan pendinding kami daripada azab, seksa dan kemaksiatan. Kurniakan kami al-Quran sebagai teman yang rapat di alam kubur, sirat dan al-Quran. Berikan petunjuk dan keredhana dengan keberkatan kami membaca al-Quran.”

-Sebut: “Sodokollahul A’dhim”.

“Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin.”

-Junjung sebentar al-Quran. Kemudian kucup al-Quran. Seterusnya membawa al-Quran pergi dengan merapatkan ia ke dada para pelajar..

 

Penerapan AKP al-Quran.

Modul yang dijelaskan di sini hanyalah sebahagian daripada modul yang dipraktikkan. Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dijelaskan seperti adab ketika P&P, doa yang perlu diajar, etika seorang guru, permasalahan pelajar dan adab-adab Islam yang lain.

Modul ini sangat berkesan untuk mendidik akhlak yang mulia dan penghayatan yang tinggi terhadap al-Quran. Kekuatan untuk modul ini berkesan bergantung kepada diri tenaga pengajar terhadap keyakinannya pada al-Quran. Mereka perlu tinggi adab dan yakin barulah modul ini berkesan kepada para pelajar yang belajar al-Quran.

Modul ini juga sesuai diaplikasi ketika mengajar di kelas atau di rumah. Malah, penerapan modul ini di rumah lebih berkesan kerana kuantiti pelajar yang sedikit atau ahli keluarga sahaja. Maka, kawalan lebih berkesan dan perubahan lebih mampu diusahakan.

 

-untuk mengetahui penerapan sebagai tenaga pengajar atau bagaimana untuk belajar kaedah ini sebagai pelajar al-Quran, maka boleh hubungi melalui laman ini atau emelkan kepada Iman Ikhlash Consultant di imanikhlash14@gmail.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: