Apakah yang Membuatkan Anda Bahagia?

Terasa berkenan untuk melontarkan idea untuk menghuraikan perkara ini. Ia antara perkara lumrah semua orang yang masih hidup, iaitu ingin mengecapi nikmat kebahagiaan, di dunia mahupun di akhirat.

Dan, mungkin jua idea ini terlintas dan seterusnya ditulis kerana terasa ada lontaran rasa bahagia di atas beberapa perkara yang berlaku baru-baru ini. Namun, daku sentiasa mengingatkan diriku sendiri, walau apapun yang wujud atas muka bumi Allah ini adalah wujud kerana kehendak-Nya. Daku bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh-Nya. Daku memohon dijauhkan dari hati yang mungkar dan perkara yang  bukan datang dari keredhaan-Nya.

Ramai orang yang menjelaskan kebahagiaan sesuatu perkara itu hadir dari aspek material, iaitu wang, harta, dan segalanya yang boleh dinilai dan dirasai melalui pancaindera. Keupayaan pancaindera yang meletakkan sesuatu harga dan nilai kepada kebahagiaan yang diterima.

Sekiranya dilihat lebih mendalam erti kebahagiaan,  manusia lebih mengerti nilai kebahagiaan dengan peringkat nafsu yang lemah. Mereka lebih menilai kebahagiaan apabila nafsu (yang tercela) dan syahwah telah dipenuhi.

Cuba direnungi contoh yang diberikan ini. Seorang kekasih yang merasai bahagia apabila berada di samping kekasihnya. Seorang pemimpin merasai bahagia apabila disanjungi oleh rakyatnya. Seorang jutawan merasai bahagia dengan harta yang dimiliki olehnya.

Sekiranya nafsu amarah yang ingin dipenuhi, maka nilainya adalah lemah dan pasti akan musnah. Ia tidak akan pernah puas dan tidak akan dipenuhi sampai bila-bila. Lagi nafsu itu yang dikejar dan ingin dicapai, lagi itu ia menjauhi dan semakin sukar untuk digapai. Hati pemilknya akan semakin gersang dan wujud kekosongan. Kekosongan ini pula sentiasa dipenuhi dengan bisikan syahwah dan syaitan. Yang paling menggusarkan, apabila nafsu yang dicari ingin dikecapi itu hancur dan musnah. Derita itu panjang, dan akan membawa kepada kehancuran jasad atau tubuh badan.

Maka, carilah peringkat nafsu yang tenang dan damai. Nafs mutmainnah. Nafsu peringkat ini meletakkan jasad untuk kembali mencari kebahagiaan dengan mengingati dan mengharapkan kepada pencipta kebahagiaan. Semakin dicari dan ingin dicapai, semakin terasa ketenangan dan kebesaran Allah. Kebahagiaan ini menjadikan seseorang itu bertambah iman, dan semakin mendekati hati, jiwa dan jasadnya kepada Tuhan.

Renungi kata-kata ini, “”Saya dapati kebahagiaan saya terletak pada iman saya dan iman saya berada dalam hati saya dan hati saya tidak siapa dapat menguasainya kecuali Tuhan saya”

Daku bawakan kisah dan mutiara kata dari para pendukung cinta Allah. Walaupun daku sendiri tidak mampu menilai kemuncak kebahagiaan melalui kesukaran, sekurang-kurangnya ia memberikan pedoman dan ikhtibar untuk merasai betapa agung-Nya kecintaan kepada Tuhan, serta menjauhi sifat  manusia kini yang menilai syahwah sebagai kemuncak kebahagiaan.

************************

Suatu hari seseorang bertanya kepada Ibrahim bin Adham, “apakah yang membuatkan anda mengalami kebahagiaan? Berapa kalikah anda mengalaminya?”

“Sudah beberapa kali,” jawab Ibrahim. “Suatu ketika aku sedang berada di atas sebuah kapal dalam sebuah pelayaran. Semua orang tidak mengenaliku termasuk nakhoda kapal. Ketika itu, aku sedang berada dalam suatu keadaan suasana spiritual, sementara aku masih mengenakan pakaian yang lusuh dan rambutku pula masih belum dicukur.”

“Semua orang mentertawa dan memperolok-olokkanku. Di atas kapal itu pula ada seorang badut. Setiap kali badut ini menghampiriku dia akan menarik rambutku dan menampar tengkukku. Pada saat itu aku merasakan keinginanku telah tercapai dan terasa bahagia dengan kehinaan sedemikian rupa.”

“Tanpa tidak diduga, berlaku gelombang raksasa. Semua orang merasai ketakutan dan khuatir mereka akan tenggelam. Tiba-tiba jurumudi kapal berteriak, ‘ salah seorang di antara penumpang harus dilemparkan ke laut!’ Namun, mujurlah tiba-tiba gelombang yang besar itu reda dengan tidak semena-mena. Yang menjadikan aku bahagia apabila mereka semua sepakat untuk menarik telingaku dan ingin membuangku ke dalam laut.”

Kata Ibrahim bin Adham lagi, “Dalam suatu peristiwa yang lain, aku pergi ke sebuah masjid untuk tidur di sana. Badanku terasa sangat letih dan leamh sekali. Tetapi orang-orang di masjid tidak membenarkan aku tidur di dalam masjid sedangkan aku ingin  berdiri pun terasa tidak berdaya. Sementelah itu jua orang-orang di masjid menarik kakiku dan menyeretku keluar.”

“Masjid itu mempunyai tiga anak tangga. Mereka mengheretku melalui anak tangga tersebut. Setiap kali kepalaku terhantuk pada anak tangga itu, kepalaku mengeluarkan darah. Pada saat itu aku terasa keinginanku tercapai. Sewaktu mereka melemparkan diriku ke anak tangga paling bawah rahsia alam semesta terbuka di hadapanku dan aku berkata dalam hati, ‘mengapalah masjid ini tidak mempunyai lebih banyak anak tangga supaya semakin bertambah kebahagiaanku!”

Ibrahim Adham bercerita lagi, “ dalam peristiwa yang lain, aku sedang dalam suasana spiritual. Tiba-tiba datang seorang badut dan mengencingku. Pada saat itu aku terasa bahagia.”

“Suatu ketika yang lain, aku mengenakan sehelai jubah bulu. Jubah itu penuh dengan tuma yang begitu nyeri sekali menghentam tubuhku. Tiba-tiba aku teringat akan pakaian yang mewah yang aku miliki yang tersimpan dalam gudang Istana. Seraya hatiku tiba-tiba berseru, ‘Mengapa? Apakah semua itu menyakitkan?’ Pada saat itu bahawa kebahagiaanku telah tercapai!”

– keterangan: Ibrahim Adham ialah raja kerajaan Balkh dan tergolong dari kalangan bangsawan arab. Suatu peristiwa telah menyedarkan Ibrahim akan kelalaian dirinya dan akhirnya nekad meninggalkan kerajaannya dan pergi mengembara, mengenal dan menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Kisah Ibrahim telah dikenali ramai dan menjadi sebutan orang. Kemuncak kebahagiaan diterima berdasarkan kesukaran yang dialaminya menandakan bukan kemahsyuran dirinya yang dicari, tetapi terasa kehinaan di sisi Tuhan yang ingin dikecapi. Kemahsyuran yang pernah diterima olehnya membawa kebongkakan, sedangkan kehinaan (kerana adanya kemahsyuran)terasa keredahan di sisi pencipta alam semesta. Wallua’alam.

 

“Ya Allah, palingkanlah hatiku dan jua hati-Nya dari perkara yang Engkau laknati dan murkai. Kami lemah dan jahil, ya Allah. Ajarkanlah kami. Bimbinglah kami. Lindungilah kami. Sekiranya di jiwa kami terlintas fikiran dan perkara yang Engkau murkai, hindarkanlah ia dengan segera, agar kami sentiasa mengagungkan Engkau dan membesarkan Engkau.”

-hhmmm…rasa macam sudah lama ya. 🙂 🙂

-jaga kesihatan dan kandungan sentiasa. – Amalkan pemakanan yang sihat, terutama untuk kandungan. (Banyak yang dah tahu kan? 🙂)

– Jangan banyak sangat buat kerja membebankan. Banyakkan berehat,dan tenangkan minda. Minta anak2 yang lain membantu untuk meringankan beban, boleh mendidik mereka ringankan sendi dan tulang sejak dari usia kecil. (boleh? )

-Muliakan hari dan ucapan dengan mengingati Allah. Banyakkan baca al-Qur’an dan zikrullah. Kawal emosi dan ingat, syaitan sentiasa membisikkan kejahatan nafsu.Si laknat senitasa ada di mana-mana. Berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam.Baca doa ini: “sesungguhnya pelindungku adalah Allah yang telah menurunkan kitab (al-Qur’an). Dialah pelindung orang-orang saleh.” (al-A’raf:196)

 

 

 

 

Tinggalkan komen