Sabar demi ujian

Diri,

Sengaja Allah s.w.t meletakkan serba serbi ujian kepada kita.

Ujian yang menguji perasaan, kehendak, keadaan dan ketabahan.

Luar daripada kebiasaan dan kemampuan sebelum ini melakukan.

Hal ini kerana,

Di sisi Allah s.w.t, dunia ini tiada makna. Tidak mempunyai nilai apa-apa. Tetapi, dunia ini menjadi tempat tinggal dan tempat diuji, sebelum sekalian manusia ini kembali kepadaNya.

Untuk diiktiraf bahawa di manakah tempat yang layak bagi jin dan manusia, yang diberikan akal untuk berfikir dan mentadbir muka bumi.

 

Namun, ini akhir zaman, maka…

Telah banyak kerosakan dilakukan oleh manusia. Luar daripada kebiasaan.

Keinginan dan kehendak sekalian manusia kepada Dia makin kurang. Hal ini menyebabkan mereka terlalu lalai dan leka mengejar ehwal keduniaan. Yang nyata, lagi membina dunia, sebenarnya lagi merosakkan ia.

Apabila perkara ini berlaku, tulang atau pasak kepada bumi, iaitu agamaNya dan amalan yang soleh, makin kurang pulang ke hadrat Allah s.w.t. Apabila kurang agamaNya dan amalan sampai ke langit, maka pasak atau tulang bumi ini makin lama makin terhakis. Apabila terhakis, bumi ini menjadi makin uzur dan rosak.

 

Mungkin di Malaysia ini, nampak ramai yang melakukan solah, amalan soleh tertentu. Tetapi, yang jadi maslahatnya, keyakinan kepada amalan itu berkurang.

Dalam suasana amalan, ada yang menangis, merintih dan lain-lain. Tetapi habis daripada suasana tersebut, semua orang sibuk fikir dan sembang tentang ehwal keduniaan yang tak habis-habis dan tak akan bawa ke akhirat.

Umat ini makin hilang berpegang yakin kepada Allah s.w.t, dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.

 

Lebih teruk, mereka terus merosakkan agamaNya yang haq. Berterusan sehingga …

Mempercepatkan berlakunya peristiwa akhir zaman.

 

Diri,

Allah s.w.t menguji kita. Dia menguji tahap yang mana kita terasa tercabar dan membebankan jiwa. Dia menguji kita, yang berdasarkan kemampuan menghadapinya, untuk kita menjadi asbab dapat menyelamatkan ramai jiwa yang masih memerlukan agamaNya. Dengan sabar terhadap ujian itu, hidayat Allah s.w.t tersebar. Tersebarnya hidayat itulah menjadi cahaya dan kekuatan pasak bumi.

Dengan ujian itu, ada beberapa hikmah yang lain;

  1. Untuk memberi kita menjadi lebih kuat. Kuat iman dan taqwa. Tabah menghadapi suasana dan keadaan.
  2. Dapat membimbing orang lain ke arah kebaikan.
  3. Untuk mengangkat darjat.
  4. Banyak lagi.

 

Diri,

Allah s.w.t memilih kita melalui jalan ini. Bukan sahaja kita dipilih, tetapi ramai lagi manusia lain yang juga dipilih olehNya. Tetapi ramai antara mereka yang tidak mampu menghadapi ujian berganda yang terpaksa Dia gerakkan dengan kadar cepat, kerana untuk menjadi hasil amal yang berganda, kembali ke hadrat Allah s.w.t, bagi meneguhkan pasak bumi yang makin rosak.

Cukup bagi Allah s.w.t segelintir manusia yang berusaha. Kerana nisbah mukmin, muttaqin dan muslim, itu beribu ganda jauh bezanya.

 

Mungkin, dalam kehidupan ini,

Ada sesetengah perkara yang telah sampai kepadaku. Ada sesetengah perkara yang telah sampai kepada diri. Ada sesetengah perkara yang telah sampai kepadaku untuk disampaikan kepada diri.

 

Apa-apapun,

Bersabarlah. Sabar demi agamaNya. Sabar demi seluruh manusia diselamatkan.

Jika terasa terlalu lemah, buatlah sesuatu yang boleh menenangkan jiwa, selagi tidak bertentangan dengan perintah dan kehendakNya. Dan, membuahkan kebaikan demi kemudian hari.

 

Tidaklah Allah s.w.t membiarkan sendiri-sendiri teruji, tanpa Dia menyediakan pertolongan.

Antaranya pertolonganNya,

Dengan kemampuanku menyampaikan di sini kepada diri. Sedikit sebanyak, mungkin ada kena mengena dengan diri.

 

Doakanlah untuk umat ini. Doakan banyak manusia dapat diislahkan hati,

kembali semula kepada agamaNya yang mulia ini.

Tinggalkan komen