Realiti Ilmu dalam Berdakwah

Ummat Islam kini telah mencecah hampir 1/4 dari bilangan penduduk dunia. Lambakan medan dakwah dan institusi tinggi yang melahirkan para sarjana Islam yang mahir dalam pelbagai bidang dan keilmuan menunjukkan umat Islam kini semakin maju ke hadapan dan ada yang setanding dengan cendekiawan Barat.

Generasi berilmu semakin hari semakin ramai. Kempen ulat buku dan mari membaca giat dijalankan.Kepesatan pembangunan dan perkembangan institusi pendidikan tidak diragui lagi meningkatkan keupayaan umat Islam dalam bidang ilmuan walaupun hanya sekadar boleh membaca surat khabar atau majalah semasa. Bagi peringkat yang lebih tinggi, terdapat ramai saintis dan cendekiawan Islam yang lahir kini di seluruh dunia. Tokoh nobel yang lahir dari bumi Mesir, Ahmed Zewail merupakan seorang saintis kimia Islam yang dinobatkan oleh dunia akan kebijaksanaannya mengaplikasikan bidang yang diceburinya. Selain itu, ramai lagi ilmuan Islam sama ada dalam bidang sains mahupun agama yang lahir di serata dunia berdasarkan bidang yang diceburi oleh mereka.

RETORIK ATAU REALITI

Tetapi, apabila melihat pada situasi semasa, generasi ilmuan tidak menonjolkan ilmu yang dimiliki. Mungkin ada ramai yang membawa mesej Islam di sebalik keupayaan yang disumbangkan olehnya, sebaliknya ramai lagi ilmuan yang lahir tetapi tiada membawa sebarang perubahan dan kebanggaan pada agama. Lebih malang lagi, kehidupan yang serba mewah dan baik, membuatkan sebagian dari golongan berilmu mudah mendabik dada dan meninggi diri di hadapan masyarakat dengan keupayaan dan kelebihan yang mereka ada. Bertambah malang lagi, semakin maju institusi ilmuan, semakin  banyak kerosakan akidah dan masalah sosial di serata tempat dan di seluruh negara.

Sungguhpun begitu, menjadi orang yang berilmu itu merupakan kefardhuan atau kewajipan bagi setiap umat Islam. Tiada yang terkecuali. Sama ada miskin atau kaya, kanak-kanak atau dewasa, semua golongan menjadi kewajipan untuk menuntut ilmu. Terutama sekali ilmu dalam bidang kefardhuan agama. Agama membimbing manusia agar menjadi insan yang beriman dan bertakwa. Walau setinggi mana ilmu yang dimiliki, itu hanyalah sebahagian kecil dari khazanah ilmu milik Allah s.w.t.

Islam mengangkat tinggi darjat orang yang berilmu, dan Islam memberikan kedudukan yang teristimewa untuk orang yang berilmu. Golongan berilmu membawa mesej yang besar dalam perubahan dan kemajuan ummah. Golongan berilmu menjadi golongan yang  sentiasa didoakan oleh para malaikat dan penduduk alam sekaliannya.

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) beberapa darjat” (Surah Al-Mujaadalah: ayat 11)

GOLONGAN BERILMU

Tetapi, siapakah yang digelar orang yang berilmu? Adakah orang yang berilmu itu ialah seseorang yang belajar hingga ke peringkat tertinggi, dan mencapai tahap yang dikehendaki itu adalah orang berilmu? Adakah gelaran ilmuan itu dikecapi setelah beroleh pencapaian dalam peperiksaan dan lulusan yang dikehendaki?

Sekiranya perkara ini yang dijadikan kayu pengukur sebagai golongan manusia yang berilmu, ternyata sudah ramai cerdik pandai dan cendekiawan Islam lahir pada masa ini. Menobatkan ilmu yang dimiliki, menyumbangkan idea dan tenaga pada negara dan agama, sekaligus menjadi golongan yang mendapat sanjungan tinggi di mana-mana.

Realitinya, taraf ilmuan yang dimiliki itu hanya segolongan kecil dari kelompok ilmu dalam khazanah  ciptaan Allah. Dia memiliki segala jenis ilmu di dunia ini. Dia yang menciptakan akal agar manusia berfikir dan merancang sesuatu sebagai khalifah di dunia ini.

Ilmuan yang direncana oleh Allah bukanlah terletak hanya di kepala dan dinukilkan di atas kertas semata-mata. Tetapi, menjadi orang yang berilmu yang dimuliakan darjatnya oleh Allah dan didoakan oleh para malaikat dan makluk lainnya ialah mereka yang bersepadu dalam menerima ilmu yang dicari, menyampaikan ilmu yang dimiliki dan beramal dengan ilmu yang diperolehi. Walaupun ilmu yang tersemat dalam dada hanyalah sebesar ibu jari, itulah ilmu yang sentiasa berada di ingatan, disampaikan kepada orang lain, dan dijadikan sebagai buah amalan. Merekalah antara golongan yang berilmu dan beramal, sekaligus menjadi pedoman rakan dan sekalian umat Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya?”  (Surah As-Saff:2)

RENCANA DAKWAH

Menuntut ilmu pengetahuan tidak akan sempurna sekiranya tidak pernah berusaha untuk menyampaikan. Satu-satunya perkara yang tidak pernah berkurang walau sebanyak manapun menyampaikan ialah ilmu pengetahuan. Harta sekiranya sentiasa diberi suatu hari akan berkurangan. Wang sekiranya selalu diberi sudah tentu akan kehabisan.

Tetapi apabila ilmu yang sentiasa disampaikan, akan semakin sebati dalam dada, beroleh kefahaman dan tersemat kukuh dalam akal fikiran. Akal semakin ligat berfikir akan penambah baikan dan ingatan akan semakin kukuh mengingati apa-apa ilmu yang telah dipelajari dan diajarkan.

Penyampaian yang berkesan adalah melalui pertemuan. Pertemuan yang membuahkan kebaikan adalah seruan yang menjadi ikutan. Dan seruan yang sebaik-baik seruan ialah menyeru manusia kembali kepada agama, iaitu dakwah.

Bagi ummat Islam di akhir zaman ini, dakwah tidak lagi boleh dianggap sesuatu yang pelik dan hanya gologan tertentu sahaja yang perlu berada dalam medan dakwah. Sebaliknya, ia adalah kerja mulia yang hanya diciptakan buat ummat akhir zaman. Dakwah adalah kerja utama utusan Allah. Islam tidak akan tersebar ke sepelusuk alam sekiranya dakwah tidak pernah dilakukan oleh ummat Islam ketika zaman kegemilangannya.

Malah, dakwah mengembalikan kehidupan manusia yang sering alpa dan leka dengan perhiasan dunia dan hasutan syaitan kepada jalan keredhaan-Nya. Dakwah menyeru manusia yang pelbagai ragam dan sifatnya kembali menyembah dan mentaati perintah dan larangan Tuhan yang Maha Berkuasa.

Kini, dakwah telah dilakukan dengna pelbagai cara, pelbagai rupa. Ada yang berdakwah dalam organisasi, ada yang berdakwah dengan saling menziarahi, dan ada juga yang berdakwah melalui mata pena dan teknologi.

Gerakan dakwah ketika ini boleh dikatakan ada pelbagai kaedah dan cara. Organisasi bukan kerajaan atau NGO sahaja hampir berpuluh-puluh bergerak  dengan misi dakwah sebagai tujuan utama. Perkara itu belum lagi termasuk yang tidak berdaftar, bergerak secara perseorangan atau perkumpulan dengan medium dakwah sebagai pengantaraan.

Tetapi, walau dakwah yang dilaksanakan dengan sebaik-baik kaedah, misi dan agenda yang direncanakan, tiada satupun memiliki sifat kesempurnaan atau benar-benar mengikut cara Rasulullah s.a.w. Cara yang sebaik-baik cara, merangkumi urusan keduniaan dan akhirat, dan menyeliputi seluruh isu peribadi dan kehidupan.

Dakwah cara Rasulullah bukanlah suatu organisasi atau suatu misi dalam kumpulan atau gerakan. Tetapi, cara dakwah Rasulullah s.a.w. merangkumi seluruh kehidupan ummat Islam, menjadikan setiap urusan adalah di bawah naungan dakwah dan kembali kepada Islam.

Siapa yang melihat akan mengatakan ini ialah cara Islam.

Siapa yang mendengar tidak akan terkecuali dari meyakini ini apa yang telah difardukan dan apa yang disarankan.

Siapa yang mengikuti pasti akan merasai betapa indahnya Islam, betapa agungnya kebesaran ad-din yang diredhai Tuhan.

REALITI ILMU DALAM BERDAKWAH

Keseimbangan menuntut ilmu dan menyampaikan perlu dilakukan secara bersama. Ilmu dan dakwah adalah kesatuan. Hubungan ilmu dan dakwah adalah saling berkaitan dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Ramai yang mempertikaikan hanya golongan yang mempelajari agama sahaja yang layak dan perlu melaksanakan dakwah. Golongan sains, seni bina ,sastera dan selain dari agama bukanlah golongan yang perlu melakukan dakwah.

Kenyataan itu adalah penuh kepalsuan dan dipengaruhi oleh doktrin sekularisme, yang membezakan kegiataan keagamaan dalam kehidupan.

Ibnu Sina tidak pernah merungkai perubatan bukan sebahagian dari aspek Islam. Ibnu Khaldun tidak pernah menjadikan sejarah luar dari ad-din Islam. Al-Farabi bukan melahirkan irama muzik untuk menjadikan peribadi muslim liar dari pegangan Islam.

Hakikatnya, tidak kira ilmu pengetahuan yang dipelajari itu berunsur sains, pengurusan ,seni dan sebagainya yang berbeza dari ilmu agama, semuanya adalah bersumber dari Ilahi. Dia yang memiliki dan mengurniakan ilmu pengetahuan kepada makhluk ciptaan-Nya. Hanya kudrat hamba-Nya  sebagai penyambung penyampaian. Setiap ilmu yang wujud di dunia ini mempunyai sumbangan dan hubung kait dengan agama. Jurusan yang berbeza boleh menjadi sebagai sumber dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai jenis martabat insan.

Ternyata, ilmu Allah itu tersangatlah luas. Walau dijadikan semua lautan sebagai tinta dakwat menulis setiap ilmu Allah, nescaya akan habis segala air di lautan yang dijadikan sebagai tinta dakwat, tetapi tidak akan ilmu-Nya.

“Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman: 27)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.  (al-Kahf:109)

Oleh itu, ilmu dan dakwah perlu bergerak secara seiring. Dakwah tanpa ilmu boleh menjadi sesat, dan ilmu tanpa dakwah adalah sia-sia. Kekuatan sebenar dalam ilmu dan dakwah adalah ketinggian iman dan takwa. Tanpa iman dan takwa, tiada keihklasan dalam penerimaan ilmu dan penyampaian dakwah, sebaliknya sentiasa mengharapkan balasan dan perkara-perkara keduniaan yang sementara.

Tinggalkan komen