Melihat Sesuatu ke dalam Sesuatu :Fiqh dan Tasawwuf

Kadang-kadang hati ini pilu apabila diri ini terasa kekurangan hubunganku dengan Tuhan. Seperti ada sesuatu tidak kena telah kulakukan sama ada sesama manusia mahupun hubunganku dengan-Nya.

Daku  masih boleh bersabar dan buat tidak endah akan kekurangan yang berlaku disebabkan urusanku dengan manusia yang lain. Sama ada ditipu,  dihina, dicela, dan sebagainya apabila telah terjadi. Tetapi daku rasa serba gelisah apabila hati ini tidak dapat melaungkan nama Allah, mahupun berdetik untuk menghampirkan diri kepada-Nya.

Lemah untuk berzikir kepada-Nya.

Alpa untuk membaca atau menghafaz kalam-Nya

Mahupun membesarkan kekuasaan-Nya

Daku mula menilai sesuatu. Tentu ada sesuatu yang tidak diingini oleh Tuhanku telah hamba yang lemah ini lakukan.

Adakah kerana banyak bintik-bintik hitam di hatiku?

Adakah ada syubhah dan kerosakan dalam makanan harianku?

Kerana kesibukan urusan duniawi?

Atau kelalaianku mengagungkan manusia buat akan-Mu?

Sekiranya ia terjadi, daku mohon kepada-Mu, ya Allah, ampunkalah kekuranganku, kelemahanku, dosaku, dan kehinaanku.

“Janganlah engkau memesongkan hatiku selepas engkau memberikan petunjuk dan pemberian rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Memberi.

Bimbinglah kami

Bantulah kami

Ajarkanlah kepada kami apa yang tidak kami ketahui.

Penulisan ini mungkin agak berbeza sedikit dan mungkin sukar untuk difahami sekiranya membacanya melalui nada yang sama, iaitu akal dan bacaan yang sekata.

Sekiranya ia dibaca atas penilaian jiwa, cuba merungkai melalui ungkapan hati, dan memohon petunjuk daripada Ilahi, insya-Allah akan mudah difahami dan mendalami bait perkataan ini.

Ia bukan sekadar untuk tatapan umum, tetapi lebih kepada penulis ini sendiri. Mendidik diri untuk terus menerus memperingati diri bahawasanya hidup di dunia ini ada tanggungjawabnya, ada persoalannya, dan ada yang perlu dilaksanakannya. Daku tidak hidup semata-mata ingin memenuhi keperluan sendiri, kemudian buat itu buat ini, sehingga kembali kepada Ilahi

Allah menciptakan manusia untuk mentadbir alam dan menjadi pemimpin kepada pelusuk alam. Kemudian kembali mengabdikan diri kembali kepada-Nya. Dia memberi tangga kebesaran, Dia mengingatkan kembali diri bahawa semua manusia itu adalah hamba Tuhan.

Dua perkara ini sahaja kalau telah dinilai melalui kefahaman dan penghayatan, telah merangkumi seluruh aspek kehidupan. Sebagai contoh, Akal rakannya ialah iilmu, hati rakannya akhlak. Nafsu lawannya ialah mujahadah, dan angkuh lawannya sabar dan merendah (diri).

—————

Permulaan atau asas kepada fiqh ialah ilmu. Fiqh tidak boleh dinyatakan pandangan dan hukum tanpa ada ilmu atau dalil untuk menjelaskan sesuatu maslahat yang timbul. Maka, sekiranya seorang alim yang menyatakan pandangan mengenai sesuatu, tetapi tidak ada ilmu dan tidak bertanya kepada orang yang lebih mengetahui, mereka inilah orang yang dicela oleh Allah akan peribadi keilmuannya.

Permulaan atau asas kepada tasawwuf ialah akhlak. Akhlak merangkumi perkara adab, tutur kata, pergaulan dan sebagainya. Kesempurnaan akhlak merangkumi antara aspek tertinggi dalam penilaian tasawwuf. Martabat tertinggi ilmu tasawwuf iaitu mencapai makrifatullah tidak akan diperoleh tercapai tanpa muliaan budi pekerti, dan ketulusan hati yang penuh tawajjuh dan utuh kepada Allah s.w.t.

Fiqh dan tasawwuf merangkumi dua aspek yang berbeza. Sekiranya fiqh membawa kenyataan dalam bidang tasawwuf, rungkaiannya adalah tidak sama. Sebagai contoh, sekiranya ahli fiqh menjelaskan tentang aurat dalam pakaian, ia menjelaskan keutamaan untuk menutup aurat, melindungi dari yang zahir dari dilihat yang bukan mahram. Sekiranya seseorang itu membuka atau tidak sempurna dalam penjagaan auratnya, maka mereka akan dinilai haram dalam pakaian. Keutamaan dalam perhiasan yang dinilai dalam fiqh secara asasnya perlu tidak berlebihan dan tidak membuka pandangan yang memberangsangkan dan merosakkan mata yang melihatnya, sekiranya berlebihan mereka jua dinilai melalui hukum yang wujud dalam ilmu fiqh.

Sekiranya ilmu tasawwuf diperbincangkan mengenai masalah aurat dalam pakaian, keutamaan tasawwuf tidak menjelaskan batasan atau kelebihan dalam pakaian. Tetapi, ilmu tasawwuf mejelaskan kenapa dia perlu berpakaian. Maka, penjelasan hanya mengenai aspek pakaian semakin diperluaskan. Pakaian sahaja untuk pandangan diri dan orang lain, tetapi juga pandangannyadi sisi Tuhan. Kebiasaannya, pakaian perhambaan dan penilaian hati dalam berpakaian itu yang dititik beratkan dalam aspek ilmu tasawwuf.

Pakaian itu bukan sekadar melindungi diri dari bala dan kemudaratan yang menimpanya, sebaliknya pakaian melindungi hati dan nurani dari sifat-sifat yang tercela dari pandangan-Nya. Sekiranya pakaian itu cantik, tetapi meniupkan sifat kesombongan dan riya’ kepada orang lain, maka kerosakan hatinya mencacatkan diri dari pandangan ilmu tasawwuf. Sebaliknya jua, sekiranya pakaian itu lusuh dan usang, tetapi mengharapkan manusia lain menyedari kesederhanaan dan kekurangannya, malah merasakan orang lain tentu memikirkan dia seorang yang rapat dengan Tuhan, , itu juga penilaian yang salah dan dicela dalam tasawwuf.

Penghuraian yang lebih mendalam antara fiqh dan tasawwuf ialah fiqh lebih menjelaskan hubungan antara sesama manusia, tetapi tasawwuf lebih menjelaskan hubungannya di sisi Allah s.w.t. Fiqh lebih menjelaskan bagaimana meneruskan kehidupan berlandaskan syariat, manakala tasawwuf menjelaskan kehidupan bagaimana untuk mencapai hakikat, sekaligus bertujuan untuk kepada makrifat Allah.

Fiqh menjelaskan apa yang zahir pada pandangan manusia, tetapi tasawwuf lebih menjelaskan permasalahan batin yang wujud dalam hati dan sifat-sifat manusia.

Ringkasnya, tasawwuf jua lebih dikenali pada hal ihsan. Perkara ini dicetuskan sendiri oleh  Syeikh Junaid al-Baghdadi atau nama sebenarnya iaitu Abu al-Qasim al-Junaid bin Muhammad al-Baghdadi, salah seorang ulama tasawwuf yang sangat dikenali. Beliau mengkhabarkan awal maqam tasawwuf itu seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “bahawa engkau sembah akan Allah seolah-olah engkau melihatnya, jika engkau melihatnya, maka sesungguhnya Dia tetap melihat engkau.”

Al Junaid juga menyebut tasawwuf dengan satu kalimah yang mendalam iaitu, “ jauhilah segala akhlak yang rendah, pakailah segala akhlak yang berseni , bekerjalah kerana mengharap keredhaan-Nya, peroleh anas-Nya, dekat dengan-Nya, beroleh limpahan nur yang memancar dari langit ke dalam kalbu. Kemudian hatinya akan bercahaya, ia pun akan percaya kepada Allah.( Apabila telah bercahaya,) nanti akan menjadi mulia dan mendapat ilham. (Lantas,)nanti rahsia besar akan tertulis di dalam kalbunya dan dia mengetahui bahawa dunia ini hanya satu baris tulisan di dalam sebuah kitab atau satu huruf dari satu kalimah.”

Hakikat dan Syariat

Sekiranya seseorang itu mahir dalam fiqh dan ada yang lain mendalami bidang tasawwuf, maka kehidupannya menghampiri kehidupan para solehin yang mulia dan mukminin yang berwibawa. Mereka tidak hidup di atas bayangan dunia dan berpegang atas bumi yang nyata.

Suatu ketika, Syeikh Najmuddin al-Kubra pernah menyatakan, “syariat itu merupakan huraian, tarikat itu merupakan perlaksanaan, hakikat itu merupakan keadaan, dan makrifat itu merupakan tujuan utama, yakni mengenali dengan sebenar-benarnya.”

Perkara ini diibaratkan seperti keadaan taharah iaitu bersuci. Pada syariatnya bersuci hendaklah dengan air atau pun tanah. Secara tarikat menyatakan bersuci perlu bersih dari hawa nafsu, pada hakikatnya bersih hati dari selain Allah, dan makrifatnya untuk mencapai hajat dan tujuan untuk kembali kepada keEsaan Allah s.w.t. Perbandingan yang lain pula dikaitkan sebagai syariat itu ibarat sampan, tarikat itu sebuah lautan, dan hakikat itu ialah mutiaranya. Manusia tidak akan dapat mencapai mutiara itu tanpa melalui sampan dan menuju lautan. Tetapi untuk mendapatkan mutiara perlu benar-benar kukuh dan tajam hasratnya supaya tidak tersesat oleh arus nafsu yang durjana. Sekiranya jiwa itu benar-benar mulia dan benar tujuannya maka makrifatnya ialah mencapai keadaan hanya ingin memuji dan mencapai hasrat kepada pencipta mutiara.

Pernah berkata Syeikh Ahmad al-Khamsyakhanuwi an-Nasqabandi, iaitu seorang ulama tasawwuf mengenai perkara hakikat dan syariat. Beliau memberi perumpamaan bahwa syariat itu apa yang diperintahkan dan hakikat itu apa yang difahami. Syariat itu terpilih menjadi satu dengan hakikat dan hakikat itu menjadi satu dengan syariat, seperti mana peribadi roh dalam jasad. Roh tidak jelas kewujudannya tanpa jasad, dan jasad tidak berguna tanpa roh yang ditiupkan ke dalam jasad. Ia tidak dapat dipisahkan, jika tidak keduanya akan mati.

Walaupun kebenaran ilmu tasawwuf dan fiqh sebenarnya adalah satu, tetapi manusia yang normal  tidak mampu untuk merangkumi kedua-dua aspek ini menjadi satu dalam satu masa yang kesepaduaannya merupakan teras kesempurnaan dalam kehidupan.

Hal ini kerana sekiranya seseorang itu mendalami keilmuannya dalam bidang tasawwuf, sering kali ada kekurangannya dalam ilmu fiqh. Begitu jua sebaliknya,sekiranya seseorang itu mahir dan pakar dalam bidang fiqh, adakalanya ia terkurang dalam menjelaskan isu-isu dan pembangkitan hati sepertimana keilmuan tasawwuf. Diasbabkan perkara ini, ada ulama’ fiqh boleh berbicara dan menjelaskan beberapa perkara berlandaskan syariat, malangnya dia tidak mampu membetulkan hatinya agar benar untuk menjadi hamba kepada pencipta syariat.Sikap sombong, sedia juntuk mengeji dan menghina orang lain, malah ada yang sanggup menanam duri permusuhan walaupun dia gologan yang ilmuan dalam bidang fiqh. Ada juga orang yang ahli dalam ketinggian martabat tasawwuf dalam dirinya, tetapi tidak boleh menghuraikan natijah kehidupan manusia yang perlu dilalui oleh setiap manusia. Mereka lebih suka menyendiri, berada di kaki-kai bukit dan gunung ganang, hilang dari penglihatan dan kehidupan manusia biasa, tidak bergaul sesama masyarakat, dan hidup atas dunia yang dipandukan olehnya.

Namun, kedua-dua aspek ini sebenarnya perlu menjadi satu. Kesatuan ini yang akan membawa kesempurnaan kehidupan berlandaskan sunnah teladan. Ia saling melengkapi dalam aspek peribadi kehidupan seseorang muslim.

Syaikh Qadir al-Jailani pernah berkata, “ tiap-tiap hakikat yang tidak mempunyai syariat itulah zindiq (sesat).”

Al-Junaid al-Baghdadi juga pernah berkata, “barangsiapa berfiqih sahaja tanpa bertasawwuf niscaya akan berlaku fasik (tidak berakhlak) dan barangsiapa bertasawwuf tetapi tidak berfiqih niscaya akan berlaku zindiq (penyelewengan agama, sesat) dan barangsiapa yang melakukan keuda-duanya, mereka itulah golongan Islam yang hakiki (sejati).”

Mereka yang hidup dengan kesatuan ilmu ini ialah junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Akhlaknya seperti al-Qur’an, perjalanan kehidupannya berlandaskan wahyu dan berteraskan syariat. Kesatuan ilmu ini menggambarkan kegemilangan Islam, dan kesatuan ilmu ini merangkumi kelebihan dan kebaikan dalam kehidupan.

 

Sekiranya mengharapkan sesuatu

Lahirkanlah isi hati kepada-NYA

Sekiranya beroleh kebaikan

Pasti yang Maha Esa tidak akan persiakan

 

Keadaan yang tidak berkehendak

Bukan bermakna DIA membenci

Hatta menghina

Namun

Maha Pengasihaninya DIA

Maha Mulia akan keagungan-NYA

DIA

Ingin mendidik hamba-NYA

 kerana

Itulah hamba pilihan-NYA

 

Bersabarlah kerana Allah

Tabahlah atas ketentuan-NYA

Pada masa yang fana’

Dengarlah bimbingan-NYA

Bukakanlah mata yang lena

Buat masa seketika

Manfaatkanlah  sebaik-baiknya

 

Wahai ALLAH

Di saat diri terleka

Engkaulah yang mengingatkan

Di saat tiada pegangan

Engkaulah tempat pautan

Di saat terasa kelemahan

Engkaulah kemuncak kekuatan


Engkaulah tempat harapan dan ketakutan

Walau diri dikurniakan nikmat dan kesenangan

 

Buat hamba-NYA

Peganglah tali Allah

Tiada makhluk yang mampu menghalangnya

Peganglah ‘mi’ad’ Allah

Kerana DIA tidak pernah memungkirinya

Walau penuh tohmahan dan duri

DIA-lah segalanya akan kembali


Ketahuilah,

Walau ketentuan-NYA tidak kini

Pasti akan dimakbulkan

Suatu hari nanti


– dapatkan rehat secukupnya..luangkanlah masa buat anak-anak dan si kecil.

– maniskan wajah sentiasa. Wajah yang manis lahir dari hati yang bercahaya. Sinergi kesihatan jua lahir walau hanya dari riak wajah, malah jiwa yang lain jua terkesan akannya terutama pada diri, anak-anak, si kecil, dan kepada diri ini 🙂 .

– …. rasa bagai sudah lama tidak menulis…. harapnya sentiasa dalam keadaan sejahtera…

“sesibuk mana menguruskan kehidupan, jangan dialpakan urusan dan peringatan (zikir-zikir) buat Tuhan.”

Tinggalkan komen