Kesabaran Allah dan hambaNya.

 

 

Allah s.w.t telah menciptakan setiap juzuk makhluk dan kehidupan. Tiada suatu yang terlepas daripada pemerhatianNya, daripada pengetahuanNya, dan daripada tanggungjawabNya. Setiap perkara yang berlaku semua dalam keizinan Allah. Allah berkehendak untuk perkara tersebut berlaku, dan Allah yang inginkan perkara tersebut berlaku.

 

Dengan ini kekuasaan Allah mengatasi kemampuan dan kekuasaan manusia. Dia boleh melakukan apa-apa sahaja dalam kehendakNya. Dia boleh menjadikan apa-apa sahaja yang Dia suka.

Sebegitupun, Allah tidak sepertimana manusia. Keadilan ialah sifatNya, kezaliman bukan zatNya. Dia terus memberi dan menerima daripada manusia yang ingkar dan kufur kepadaNya. Dia sentiasa mengurniakan peluang dan kenikmatan kepada golongan ini.

Allah itu Maha Sabar.

Begitulah tinggi sifat dan kemuliaan Allah. Jika ingin dihuraikan lagi, tidak cukup masa untuk menulis di sini.

Sungguh, kesabaran Allah kepada makhlukNya sememangnya kesabaran yang Maha Tinggi. Dia tidak pernah mengungkit kesalahan makhlukNya apabila mereka bertaubat, walaupun berjuta-juta makhlukNya itu melakukan kesalahan mereka. Dia tidak pernah berkira akan pengampunanNya, walaupun makhluk itu melakukan lagi dan lagi kesalahan dosa mereka. Dia tidak pernah menahan ‘tangan’Nya daripada terus memberi, walaupun makhluk itu tak pernah bersyukur dan berterima kasih kepadaNya.

Allah s.w.t sangat mengasihi akan setiap ciptaanNya. Hanya ciptaanNya yang tak pernah hargai dan peduli akan Rabb yang telah menciptakanNya.

Kesabaran Allah ialah kesabaran pencipta yang mulia. Kebesaran dan keperkasaanNya dalam kesabaran dan kerahmatanNya.

 

Kesabaran terbaik!

Manakala kesabaran terbaik bagi seorang hamba ialah kesabaran Nabi Allah. Kesabaran mereka bukan hanya kepada seseorang, tetapi kepada sekalian ummah. Kesabaran seterusnya ialah para sahabat baginda. Kerana tinggi kasih sayang sesama muslim, mereka memaafkan kesalahan sesama mereka, dan mereka yang datang kepada Islam, walaupun orang tersebut dulu musuh ketat mereka.

Kesabaran seterusnya ialah para wali Allah, orang yang akrab kepadaNya. Seterusnya orang soleh, orang zikir, orang ibadah. Akhir sekali orang awam (ahli dunia).

Jadi, jika ingin menjadi orang terbaik, contohilah akhlak dan peribadi yang terbaik, iaitu para anbiya’. Kalau tak mampu, jadilah seperti orang selepas mereka dan seterusnya.

Jangan terus dipilih menjadi ahli dunia, kerana pasti akan terasa sangat rugi dan celaka apabila dihidupkan kembali di sana.

 

Impak kepada hambaNya

Apabila terus melihat dan merenung akan sifat Allah dan hambaNya yang terbaik ini, terasa makin terasa lemah dan kerdil akan diri ini. Terasa tak ada apa-apa pada diri ini. Terasa terlalu hina dan kotor, jika diri ini pernah mengaku menjadi hamba yang bersabar keranaNya.

Selayaknya daku sebagai hamba kepada Allah yang Maha Sabar, tidak terlalu peduli dan terasa pada sikap dan kekurangan orang lain terhadapku. Tak perlu terlalu tinggi diri menilai pada pemberianku atau pengorbananku kepada mereka selama ini, sehingga menolak daripada terus memberi kepada mereka.

Jika benar daku ikhlash kerana Allah, maka segala jerit perih, harta, masa, diri dan perasaan yang diberikan kepada mereka, tidak mengharapkan balasan apa-apa daripada mereka. Daku telah berikan dan sampaikan semuanya kerana Allah, daku bersedia untuk mereka pun kerana Allah.

Oleh hal demikian, bagi seseorang yang mengenali diri hamba ini, daku telah lupakan kesalahan kalian yang lalu kerana Allah. Tidak perlu diungkitkan satu persatu dan diingatkan satu persatu kerana kebersamaan kalian denganku atas takdir Allah. Tidak perlu dirasakan kebersalahan yang lalu ketika bersamaku sehingga kalian kekok dan kaku dengan pemberian dan kebersamaanku bersama kalian. Biarlah kesalahan itu menjadi pengerat hubungan antara diri seorang hamba dengan Tuhan, bukan antara seorang hamba dengan hambaNya yang lain (maksudnya kesalahan itu terus diadu dan dipohon ampun sampai bila-bila dengan Allah, tetapi apabila bersama manusia tiada langsung teringat atau ingin dikatakan kepada manusia).

Jadilah diri sendiri. Kerana diri sendiri itu lebih mulia daripada menjadi diri orang lain. (Kalau diri sendiri itu perangai buruk, berubahlah. Jika diri sendiri itu berperangai baik, maka jadilah lebih baik)

 

Tinggalkan komen