Tag Archives: cerdik

Anak yang Cerdik

Sinar mentari masih lagi memancarkan sinarnya.

Tiada yang terkurang, malah sentiasa menerangi semesta alam.

Tugas mentari bagai tidak pernah ada perkataan henti. Bermula detik fajar menyinsing, sehingga gelap malam menandakan kedatangan purnama bulan, mentari tidak pernah leka dan alpa untuk memancarkan sinarnya dan menerangi kehiduopan buat semesta alam.

Kadang-kadang terlintas di fikiran, bagaimana keadaan dunia ini apabila matahari berkata, “hari ni aku ingin bercuti. Berehat, dan tidak melakukan tugasku seperti setiap hari. Biar bulan sahaja yang bersinar dan terus menerus memancarkan pantulan cahayanya buat penduduk di semesta alam.”

Tentu sahaja kehidupan para tumbuhan, haiwan malah manusia akan menjadi kucar kacir. Kerja mereka setiap hari akan bertambah kelam kabut, yang sememangnya haru biru sebelum itu. Ada yang meratap menangis melihat matahari tidak muncul-muncul timbul, ada yang mula buat prasangka bukan-bukan, ada pula yang menambah baik peribadatannya kerana risau akan fenomena yang tidak pernah sesekali terjadi di dunia, dan mungkin ada pula yang buat-buat tidak tahu sahaja.

Melihat akan tugas setiap penciptaan Allah di sekali alam ini, daku merasa kagum dan betapa kerdilnya kewujudanku di dunia ini. Rupanya, masih ada perkara lain yang Allah ciptakan selain daripada manusia yang tidak pernah keluh kesah dan penat lelah menjalankan tugas hariannya. Mereka ini sentiasa taat kepada pencipta mereka, dan tidak pernah sesekali melanggar larangannya.

Ah… lemahnya dan hinanya aku di hadapan-Mu, ya Allah. Daku diberikan akal untuk berfikir akan kewujudan-Mu. Daku diberikan hati untuk sentiasa mengingati dan membesarkan-Mu. Rupanya daku hanyalah sekelumit kecil golongan manusia yang diciptakan oleh-Mu. Malah, kalau Engkau yang Maha Agung ingin mengambil dan mencabut nyawa setiap hamba-hamba-Mu, tiada satu kuasa pun akan mampu menghalang tindakan-Mu.

Ah…. daku takut akan sifat dan hatiku yang tidak pernah melihat dan mengagungkan Engkau. Ketika daku lemah dan kacau bilau, daku mencari makhluk yang jua hasil dari penciptaan-Mu. Ketika daku gembira, daku masih jua mencari makhluk-Mu menyatakan kegembiraan dan girangnya hatiku mendapat nikmat kurniaan-Mu. Ampunkanlah kelemahan dan kekuranganku ya Allah. Bimbinglah tangan, diri, dan hatiku untuk sentiasa mengadu, bersyukur dan mengharap semata-mata hanya kepada-Mu.

Wahai Tuhanku,

Janganlah tergolongkan hamba-Mu yang lemah ini di kalangan hamba yang ingkar dan sombong dari menghadap dan mentaati perintah-Mu. Sungguh, apalah gunanya daku bersikap begitu, sedangkan daku hanyalah sekelumit kecil dari hasil penciptaan-Mu.

Continue reading →